Pelestarian Turunan, Penelusuran Moyang: Pengadunan Sosiolinguistik dan Linguistik Sejarah dalam Pendokumentasian Bahasa Peribumi
RM 8.00
ISBN:
978-967-461-033-3
Categories:
General Academics
File Size
0.52 MB
Format
epub
Language
BM
Release Year
2016
Favorite (0)
Synopsis
Walaupun mauduk syarahan ini boleh ditafsirkan secara berbeza-beza, namun demikian fokusnya ialah kepada usaha untuk menghuraikan keterancaman dan pelestarian bahasa peribumi dan dialek Melayu di Malaysia kini. Konsep bahasa peribumi dan dialek Melayu yang dilihat dari susur pandang sosiolinguistik ditentukan berdasarkan parameter tertentu. Selain kriteria tanpa aksara, parameter lingkungan tabii bahasa peribumi dan dialek Melayu memperlihatkan kedua-duanya berpotensi besar untuk menghadapi keterancaman yang mungkin menyebabkan kematian atau kepupusan. Salah satu ikhtiar kemandirian bagi bahasa peribumi dan dialek Melayu yang terancam ialah pendokumentasian. Pendokumentasian bahasa yang masih hidup atau yang telah pupus boleh dilaksanakan menerusi pelbagai kaedah, namun begitu yang dijadikan kerangka epistemologi di sini ialah kaedah sosiolinguistik dan linguistik sejarah. Walaupun usaha pelestarian bahasa peribumi dan dialek Melayu yang masih hidup tidak kurang sukarnya, memastikan pelestarian bahasa dan dialek yang sudah pupus lebih lagi sukarnya, apatah lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai rekod bertulis dan penutur terakhirnya masing-masing sudah meninggal dunia. Di sinilah kaedah linguistik sejarah memainkan peranannya. Kaedah ini meneliti bahasa turunan yang masih hidup, membandingkan bahasa-bahasa ini dan merekonstruksi atau membina semula bentuk bahasa yang lebih tua hasil perbandingan tersebut. Bagi kedua-kedua kaedah, beberapa manfaat pendokumentasian diperoleh dan dipaparkan di bahagian akhir syarahan ini. Syarahan ini sekurang-kurangnya dapat menyimpulkan satu perkara: ternyata kita sedang berdepan dengan suasana kritikal keterancaman bahasa peribumi dan dialek dan keadaan ini mendesak kita supaya bertindak. Bahasa peribumi dan dialek perlu didokumentasikan secepat mungkin. Jika langkah ini tidak dilakukan, maka khazanah yang kaya-raya ini akan lenyap begitu sahaja tanpa ucapan selamat tinggal. Dalam melakukan usaha ini, bukan hanya sosiolinguistik dan linguistik sejarah, malah semua cabang linguistik sepatutnya digabungkan secara menyeluruh. Dengan penggabungan ini, barulah sebuah panorama linguistik yang meraikan kepelbagaian bersekali dengan ekologinya terakam dengan kemas di kanvas pengertian dan kebudayaan kita.